Thursday, July 24, 2008

WAYANG KULIT ‘COOL’, APA …


‘Salam Pantai Timur’ merupakan salah satu rancangan TV yang paling popular di Malaysia. Ia menyajikan beberapa ciri budaya asli di negeri-negeri pantai timur, khususnya Terengganu dan Kelantan, seperti dikir barat serta sketsa-sketsa komedi berloghat etnik kedua negeri itu.

Namun, dikir barat hanyalah satu daripada puluhan khazanah dan adat resam warisan Melayu yang terdapat di Semenanjung Malaysia. Siapa yang tidak kenal tarian boria, dondang sayang, layang-layang wau, atau kuda kepang ? Hakikatnya, kebudayaan Melayu di seberang tambak semestinya ‘lebih gah’ daripada apa yang terdapat di sini, kerana tidak dapat disangkal, sejarah Tanah Melayu jauh lebih padu dan padat daripada sejarah Temasek.

Tetapi, apa yang menarik perhatian saya, ialah persembahan wayang kulit, yang sebenarnya berasal dari Tanah Jawa. Ianya hanyalah sebuah pertunjukan bayang-bayangan (istilah ‘wayang’ terbit daripada kekata Jawa ‘bayang’). Bahagian depan sebuah bangsal atau pentas digantung sebidang kelir, atau tirai putih, yang di belakangnya pula diletakkan sebuah lampu gasolin atau mentol elektrik. Cahaya yang memancar daripada lampu itulah yang akan membentuk bayangan patung-patung yang dilenggang-lenggokkan oleh Tuk Dalang, atau penceritanya, bersama beberapa orang pembantu.

Biasanya Tuk Dalang adalah seorang dukun atau pawang yang amat mahir dengan jampi mantera dan mempunyai ilmu yang cukup mendalam perihal pantang-larang wayang kulit. Beliau juga berkebolehan menukar suara mengikut perwatakan patung dan menjiwai setiap watak yang dilakunkan.

Persembahan wayang kulit tidak akan lengkap tanpa iringan muzik atau bunyi-bunyian. Di antara peralatan muzik yang utama adalah gong, canang, kerincing, rebab, genderang, gamelan, beduk, gedombak, tetawak dan serunai. Fuh, lebih hebat daripada New York Philharmonic Orchestra !

Cerita-cerita dalam wayang kulit lazimnya berkisar di dua alam, iaitu bumi nyata dan kayangan atau awang-awangan, yang mengisahkan tentang legenda atau kebangsawanan raja-raja atau dewi-dewi purba.

Wayang kulit di pantai timur selalunya dipersembahkan kepada para jemputan dalam upacara-upacara tertentu seperti meraikan tamatnya musim menuai padi, menolak bala ataupun menyempurnakan sesuatu nazar.

Sayangnya, dalam konteks arus kemodenan dan apresiasi terhadap seni desa ini di Singapura, wayang kulit boleh diibaratkan sebagai ‘hidup segan, mati tak mahu’. Jumlah pertunjukan wayang kulit di kota metropolitan ini boleh dihitung dengan sebelah tangan saja. Mentelah, kita tidak ada musim padi, dan untuk menolak bala atau menyempurnakan nazar, kita hanya meminta perkhidmatan kumpulan-kumpulan marhaban atau kumpulan yasin saja.

Maka, tidak hairanlah kalau anak cucu kita masih tidak mengenali wayang kulit, apatah lagi untuk mencintainya. Mereka hanya berpeluang mengenali seni ‘old school’ atau lapuk ini semasa membuat projek budaya yang diarah buat oleh guru mereka. Nah, apa lagi sumber maklumat mereka, kalau tidak menerusi komputer, ‘tok selampit’ yang terunggul hari ini.

Dan kalau nak menonton cerita-cerita fantasi atau riwayat raja-raja, turun saja ke kedai DVD. Filem-filem aksi seperti siri ‘Batman’ yang penuh dengan adegan mendebarkan, dan filem-filem purba seperti ‘Gladiator’, ‘Troy’ dan ‘Alexander’ menanti saja untuk disewa atau dibeli.

Pengamatan saya, kita haruslah memberi penghargaan sewajarnya terhadap wayang kulit. Bayangkan saja, filem-filem keluaran Hollywood, Bollywood, dan beraneka lagi ‘wood’, hanya mula bertapak dan berkembang pada awal abad ke-19. Sebaliknya, wayang kulit telah meresap ke Tanah Melayu sejak abad ke-12 lagi, tatkala Tanah Jawa diperintah oleh kerajaan Majapahit. Wah, purata wayang kulit rupa-rupanya 700 tahun lebih ‘matang’ atau ‘senior’ daripada wayang layar perak masa kini ! Hah, tidakkah itu ‘cool’ namanya ?

No comments: