Thursday, July 24, 2008

ANTARA RUMAH TERBUKA DAN HATI TERTUTUP


Wah, tidak beberapa minggu lagi, bulan Ramadan, penghulu segala bulan, akan tiba lagi menjemput kita meninggikan syiar terhadap Allah SWT. Pada 1hb Oktober kelak, insya-Allah, kita akan beraya pula. Hai, nampaknya akan bermulalah lagi musim ‘open house’ atau rumah terbuka untuk menjamu saudara-mara dan sahabat-handai, dan juga tetamu yang bukan beragama Islam.

Alhamdulillah, fenomena ini bukan saja berupaya mengeratkan silaturrahim sesama kita, malah dapat menyemai semangat keharmonian sosial yang sememangnya menjadi teras kehidupan masyarakat majmuk di Kota Singa ini. Inilah peluang kita untuk menerangkan kepada bangsa asing atau umat agama lain pengertian ibadah berpuasa, solat terawih, zakat dan signifikasi Aidilfitri (juga perbezaannya dengan Aidil-Adha).

Lantaran isu kos sara hidup yang agak melambung dewasa ini, serta kesuntukan masa, konsep rumah terbuka kemungkinan besar akan diamalkan oleh segelintir saja di kalangan masyarakat kita. Justru, tidak hairanlah sejak dua atau tiga tahun ini, banyak sekali badan-badan akar umbi sanggup berhabis-habisan untuk menganjurkan majlis Hari Raya khas buat golongan-golongan yang tertentu. Pihak RC atau Jawatankuasa Penduduk berganding bahu dengan beberapa cabang sosial yang lain menggunakan kolong-kolong flat untuk menganjurkan upacara rumah terbuka, dimeriahkan lagi dengan pertunjukan untuk kanak-kanak, warga emas, dan mereka-mereka yang kurang bernasib baik, seperti anak-anak yatim piatu, orang cacat atau yang kurang upaya atau miskin.

Pada hemat saya, rumah terbuka sememangnya mempunyai potensi yang baik untuk menjadi wadah demi menjalinkan hubungan sesama anggota masyarakat. Malangnya, ada beberapa amalan-amalan yang kurang elok begitu terserlah setiap kali musim rumah terbuka tiba, lebih-lebih lagi tabiat dan kelakuan mereka yang datang mengunjung ke rumah seseorang.

Faktor pertama yang menghairankan saya ialah isu masa, iaitu masa menziarah yang kurang sesuai. Ada tetamu yang seolah-olah tidak memahami bahawa hos atau tuan rumah sudah pasti lesu setelah melayan para tetamu sehari suntuk. Tetapi ada di antara kita yang meremehkan hal ini dengan alasan : ‘setahun sekali apa, kawan rapat apa, kata Hari Raya, alah besok kan tak kerja’, dan sebagainya. Cuba bayangkan kalau tetamu berkenaan belum hendak balik-balik lagi walaupun jam dinding besar di depan mukanya menunjukkan sudah pukul 1 atau 2 pagi ! Janganlah kita ambil pusing tentang had kesabaran dan perasaan hati kecil tuan rumah, ya. Orang pun nak rehat, beb !

Satu lagi hal ialah kesusilaan dan peradaban kita dan ahli keluarga kita. Adakah kita patut melihat saja dan membiarkan anak-anak kecil kita berkeliaran dan hiruk-pikuk di merata sudut rumah yang kita kunjungi, seperti dapur, tandas dan, alahai, kamar tidur ? Bagaimanakah agaknya emosi hos kita bila kenakalan anak-anak yang kurang berdisiplin menumpahkan air sirap atau kuah sate ke atas ambal tebal yang baru ? Hai, takkanlah si tuan rumah pula yang patut memberi teguran ? Tak ‘logic’ kan ?

Mengenai aspek santapan pula, kekadang saya lihat ada tetamu terhormat kita melantak jamuan yang disediakan sehingga ‘tak larat nak berdiri’ ! Mentang-mentang kita makan percuma, tolonglah umpama atau ambil kira sedikit ‘orang-orang belakang’ yang akan hadir kemudian, kawan.

Hai, walaupun perkara-perkara ini mungkin terlalu kecil untuk diperdebatkan, perkara-perkara enteng inilah yang boleh membuat orang begitu tawar hati untuk membuka pintu rumah mereka. Rumah mungkin terbuka, tetapi hati tertutup, siapalah tahu.

Tepuk dada, tanya selera …


Selamat menyambut ketibaan Ramadan, dan selamat menjamu selera di rumah sesiapa saja yang terbuka luas untuk anda, ya !


WAYANG KULIT ‘COOL’, APA …


‘Salam Pantai Timur’ merupakan salah satu rancangan TV yang paling popular di Malaysia. Ia menyajikan beberapa ciri budaya asli di negeri-negeri pantai timur, khususnya Terengganu dan Kelantan, seperti dikir barat serta sketsa-sketsa komedi berloghat etnik kedua negeri itu.

Namun, dikir barat hanyalah satu daripada puluhan khazanah dan adat resam warisan Melayu yang terdapat di Semenanjung Malaysia. Siapa yang tidak kenal tarian boria, dondang sayang, layang-layang wau, atau kuda kepang ? Hakikatnya, kebudayaan Melayu di seberang tambak semestinya ‘lebih gah’ daripada apa yang terdapat di sini, kerana tidak dapat disangkal, sejarah Tanah Melayu jauh lebih padu dan padat daripada sejarah Temasek.

Tetapi, apa yang menarik perhatian saya, ialah persembahan wayang kulit, yang sebenarnya berasal dari Tanah Jawa. Ianya hanyalah sebuah pertunjukan bayang-bayangan (istilah ‘wayang’ terbit daripada kekata Jawa ‘bayang’). Bahagian depan sebuah bangsal atau pentas digantung sebidang kelir, atau tirai putih, yang di belakangnya pula diletakkan sebuah lampu gasolin atau mentol elektrik. Cahaya yang memancar daripada lampu itulah yang akan membentuk bayangan patung-patung yang dilenggang-lenggokkan oleh Tuk Dalang, atau penceritanya, bersama beberapa orang pembantu.

Biasanya Tuk Dalang adalah seorang dukun atau pawang yang amat mahir dengan jampi mantera dan mempunyai ilmu yang cukup mendalam perihal pantang-larang wayang kulit. Beliau juga berkebolehan menukar suara mengikut perwatakan patung dan menjiwai setiap watak yang dilakunkan.

Persembahan wayang kulit tidak akan lengkap tanpa iringan muzik atau bunyi-bunyian. Di antara peralatan muzik yang utama adalah gong, canang, kerincing, rebab, genderang, gamelan, beduk, gedombak, tetawak dan serunai. Fuh, lebih hebat daripada New York Philharmonic Orchestra !

Cerita-cerita dalam wayang kulit lazimnya berkisar di dua alam, iaitu bumi nyata dan kayangan atau awang-awangan, yang mengisahkan tentang legenda atau kebangsawanan raja-raja atau dewi-dewi purba.

Wayang kulit di pantai timur selalunya dipersembahkan kepada para jemputan dalam upacara-upacara tertentu seperti meraikan tamatnya musim menuai padi, menolak bala ataupun menyempurnakan sesuatu nazar.

Sayangnya, dalam konteks arus kemodenan dan apresiasi terhadap seni desa ini di Singapura, wayang kulit boleh diibaratkan sebagai ‘hidup segan, mati tak mahu’. Jumlah pertunjukan wayang kulit di kota metropolitan ini boleh dihitung dengan sebelah tangan saja. Mentelah, kita tidak ada musim padi, dan untuk menolak bala atau menyempurnakan nazar, kita hanya meminta perkhidmatan kumpulan-kumpulan marhaban atau kumpulan yasin saja.

Maka, tidak hairanlah kalau anak cucu kita masih tidak mengenali wayang kulit, apatah lagi untuk mencintainya. Mereka hanya berpeluang mengenali seni ‘old school’ atau lapuk ini semasa membuat projek budaya yang diarah buat oleh guru mereka. Nah, apa lagi sumber maklumat mereka, kalau tidak menerusi komputer, ‘tok selampit’ yang terunggul hari ini.

Dan kalau nak menonton cerita-cerita fantasi atau riwayat raja-raja, turun saja ke kedai DVD. Filem-filem aksi seperti siri ‘Batman’ yang penuh dengan adegan mendebarkan, dan filem-filem purba seperti ‘Gladiator’, ‘Troy’ dan ‘Alexander’ menanti saja untuk disewa atau dibeli.

Pengamatan saya, kita haruslah memberi penghargaan sewajarnya terhadap wayang kulit. Bayangkan saja, filem-filem keluaran Hollywood, Bollywood, dan beraneka lagi ‘wood’, hanya mula bertapak dan berkembang pada awal abad ke-19. Sebaliknya, wayang kulit telah meresap ke Tanah Melayu sejak abad ke-12 lagi, tatkala Tanah Jawa diperintah oleh kerajaan Majapahit. Wah, purata wayang kulit rupa-rupanya 700 tahun lebih ‘matang’ atau ‘senior’ daripada wayang layar perak masa kini ! Hah, tidakkah itu ‘cool’ namanya ?

HMM, …. TAPAI …. SEDAAAP ….


Cuba anda mempelawa anak kecil anda, “Yok, kita makan tapai !” Perhatikan respons di seraut wajahnya. Kalau matanya bersinar dan dia menjawab, “Hore !” ah, memang sahlah, anak anda itu tahu menikmati kelazatan satu daripada makanan tradisional Melayu kita yang paling digemari.

Tetapi, jika matanya terpinga-pinga dan mulutnya ternganga seraya bertanya, “Ah ? Tapai ? Apa benda tu, ayah ? Kalau makan kat restoran Popeye, adik tahulah !” ‘confirmed’lah, anda perlu lantas membawanya ke Geylang Serai untuk membeli juadah istimewa ini.

Tetapi, awas, ayah ! Kalau di Geylang tu, jaga-jaga sedikit - maklumlah, tidak jauh dari pasar sementara itu tersergam restoran-restoran makanan segera yang lebih gah, seperti McDonalds, KFC dan Long John, dan juga Arnold’s Chicken. Silap-silap nanti satu meja ‘order’ ‘Happiness Plate’ pula !

Tapai diperbuat daripada ubi kayu atau pulut, dan agak mudah untuk membuatnya. Tetapi mereka yang tidak pakar pasti tidak akan berjaya menghasilkan tapai yang manis, sebaliknya terlalu masam atau keras. Kalau tapai dah tak menjadi, gigit jarilah ! (eh, tapi kalau jari manis, ok apa, ada rasa juga kan ….)

Bahan-bahan untuk membuat tapai pulut, misalannya, hanyalah pulut, gula, daun pisang, ragi yang ditumbuk halus, air suam dan kain tebal untuk membungkus periuknya.

Membuat tapai ubi hampir mirip cara-caranya dengan kaedah menyiapkan tapai pulut. Yang membuatnya berbeza sedikit ialah ubi kayu yang baru direbus tidak perlu digaul atau dicampurkan dengan sebarang air, kerana tapai ubi yang baik akan berupaya mengeluarkan airnya sendiri bila sudah masak !

Satu lagi perbezaan ialah daun pisang juga tidak perlu untuk membungkus tapai ubi, lantaran sebuah bekas khas boleh digunakan untuk memeramnya.

Sejak zaman nenek moyang kita dulu, tapai amat sesuai sekali dimakan sebagai pencuci mulut selepas makan, biasanya makan tengahari atau makan malam. Santan dan ais mampu membuat tapai lebih ‘oomph’ dan menyelerakan sehingga menjilat jari !

Lima O !

Jadi, anak-anak sekelian, rugi betullah kamu jika tidak mahu cuba makan tapai. Jangan khuatir, walaupun ianya menggunakan gula secukup rasa, tapai pada dasarnya makanan yang sihat kerana ianya direbus dan bukan digoreng secara ‘deep-fried’ yang mengakibatkan kolesterol.

Tetapi kalau anak-anak sekelian masih menolak tapai yang dihidang oleh ibu kamu itu, dan masih belum yakin juga akan kehebatan makanan warisan kita ini, jangan segan, jangan malu - silalah menelefon saya dengan segera, ya !


No problem, ada tapai !

Wednesday, July 23, 2008

I SAY, MAN


Dunia hiburan masa kini amatlah gamat sekali, gara-gara banyak studio-studio perfileman Hollywood menggembar-gemburkan populariti wira atau ‘hero’ yang begitu hebat dengan keupayaan canggih masing-masing, kononnya demi menyelamatkan atau melindungi mangsa-mangsa yang tidak berdosa daripada beraneka bencana dan mala-petaka.

Tiga daripada wira komik warisan mat saleh yang unggul dan tidak asing lagi adalah Superman, Batman dan Spiderman. Wira-wira tradisional yang lain termasuklah ‘Captain Marvel’, ‘Flash Gordon’, ‘Incredible Hulk’, ‘Invisible Man’, keluarga hebat ‘The Incredibles’, empat sekawan ‘Fantastic Four’, dan sebagainya. Nah, sekarang pula sudah pun timbul beberapa lagi watak ‘macho’ baru, seperti ‘Ironman’ dan ‘Hancock’. Di seberang tambak juga, ada pihak yang tidak mahu kalah. DVD ‘Cicakman’ begitu laris sekali bagaikan pisang goreng panas, bukan hanya di Malaysia. Masing-masing dengan kuasa ajaib tersendiri, masing-masing dengan misi peribadi tertentu. Dan masing-masing tetap ditaruh harapan untuk berperang dengan anasir-anasir jahat yang ingin menghapuskan setiap insan dari muka bumi, agar mereka sendiri boleh menjadi kuasa terbesarnya ! Kononnya...

Namun, marilah kita ‘flashback’ atau imbas-kembali sejenak ke alam silam di mana kaum Melayu sendiri ada mempunyai pahlawan-pahlawan yang bukan calang-calang, cuma mungkin tidak boleh terbang di angkasa bak halilintar saja ! Maksud saya, Hang Tuah sudah tentu merupakan yang teragung di antara watak-watak perkasa yang ‘sewaktu dengannya’. Kalau diberi jolokan moden, mungkin datuk laksamana ini layak digelar ‘Keris-Man’. Badang pula boleh ditabal sebagai ‘Otot-Man’, berdasarkan kekuatan empat keratnya yang sukar ditandingi. Hang Nadim secocok dengan nama ‘Todak-Boy’, Dan tiga rakan ‘kamceng’, Ramlee, Aziz dan Sudin memang tepat diberi anugerah sebagai ‘Bujang-Men’ yang paling popular. Buat kaum hawa pula, apa kata kalau Tun Fatimah dinobatkan sebagai ‘Tanjak-Woman’ ?

Baik, kalau ada ‘hero’, kan tidak lengkap kalau tidak ada penjahat, atau ‘crook’ atau ‘nemesis’nya ? Izinkan saya cadangkan beberapa kategori ‘watak bobrok’ yang biasa kita semuka setiap hari.

Pertama sekali, saya memperkenalkan .... "ASAP-MAN”. Dia ini orangnya asyik merokok sesuka hatinya, tidak kira bila dan di mana : di dalam lif, di perhentian bas/teksi, dan kekadang tu betul-betul di bawah papan-tanda ‘No Smoking’! Dia langsung tidak prihatin tentang kesihatan orang lain di kiri-kanannya, seolah-olah tidak tahu-menahu akan kesan negatif kepada masyarakat umum yang akan menjadi perokok pasif akibat tabiat buruknya. Oh ya, saya terlupa - dia ada berbau bacang dengan “API-ROKOK-MAN”. Watak ini langsung tak kisah kalau punting rokoknya yang masih bernyala terkena tangan atau badan orang lain semasa berasak-asak dan bergeser-geseran di pasar atau bazar Ramadan nanti. Mungkin Superman saja yang dapat mengekang api dan asap kedua anasir ini dengan hembusan nafasnya yang handal !

Watak kedua ialah “KAHAK-MAN”. Dia ini pula tidak akan teragak-agak untuk menyemburkan segala kahak dan lendiran dari tekaknya ke lantai, walaupun ada orang di sebelah, lebih-lebih lagi bukan kenalannya. Asalkan kuman yang memualkan tidak ada lagi dalam tubuhnya, orang lain kena jangkit, itu mereka punya masalahlah ! Walhal, kita dididik dari kecil agar menjaga sopan-santun dan tata-tertib semasa di khalayak ramai. Untuk pengetahuan kalian, dua ‘sidekick’ atau pasangan setianya ialah “LUDAH-MAN” dan “HINGUS-MAN”. ‘Hero’ yang paling sesuai untuk menangani toksik yang dipancurkan oleh ‘samseng-samseng Kampung Dusun’ ini tidak lain tidak bukan hanyalah Cicakman. Cicak kan gemar cecair yang berbagai perasa, apa. (Maaf, ya, jika anda sedang makan atau minum !)

Akhir sekali, saya ingin bertanya, kenalkah anda ‘CARUT-BOY’ ? Remaja ini berasa begitu megah setiap kali dia meluahkan kata-kata kesat atau semasa memaki-hamun seseorang yang membuatnya berang. Tidak kiralah, ‘madah pujangga’nya itu dalam bahasa Melayu mahupun Inggeris. Seperti hal-hal yang lain, amalan mencarut ini membuatnya kelihatan ‘cool’ di mata rakan-rakannya. Seolah-olah, ianya sudah menjadi bahasa kedua bagi kumpulan-kumpulan ‘hip-hop’ ini. Wira untuk membantu ‘star karat’ ini untuk insaf dan kembali ke pangkal jalan, siapa lagi kalau tidak Spiderman. Dia boleh menggunakan lendir takjubnya untuk menampal mulut si pesalah lantang itu setiap kali terasa hendak mencarut ! Sayugia dimaklumkan, sepupu si Carut-Boy ialah ‘CELOPAR-GIRL’.

Oh, Tuhanku, selamatkanlah aku daripada menjadi mangsa watak-watak yang keterlaluan ini. Kau jadikanlah hambaMu ini ….. “SABAR-MAN” yang tulen.

Amin, ya rabbal-alamin.

Tuesday, July 22, 2008

SILA JAWAB PANTUN SAYA, YA


“Kalau ada jarum yang patah
Jangan disimpan di dalam peti
Kalau ada silap dan salah
Jangan disimpan di dalam hati”

Siapa yang tidak kenal dengan pantun empat kerat ini ? Kalau tidak dari peringkat sekolah tadika, maka tentu kita sudah diajar dan mengenali pantun pusaka ini sejak di bangku sekolah rendah lagi.

Lazimnya pantun ini merupakan ‘pantun penutup’ yang dituturkan oleh kebanyakan pihak penganjur sesuatu majlis yang diselenggerakan oleh badan-badan Melayu/Islam. Ianya ibarat suatu kemestian dan motif murni penuturnya tidak lain tidak bukan untuk memaniskan ucapan perpisahan dengan menggunakan satu ciri peninggalan warisan kita.

Pendek kata, pantun jarum patah ini boleh dianggap sebagai setahap dengan ungkapan ‘Bye-Bye’ yang diucap oleh mat saleh atau golongan mereka-mereka yang fasih berbahasa Inggeris.

Namun, jika disingkap dari sudut penggunaan pantun ini dalam aktiviti-aktiviti adat resam Melayu pula, saya berasa agak pelik sedikit setiap kali seorang wakil rombongan pengantin lelaki, misalannya, mendendangkan pantun ini semasa menggulung ucapan perpisahan kepada wakil pihak mempelai wanita. Malah, saya terkilan juga kerana beliau berpantun dengan begitu bersahaja tatkala rombongannya hendak berangkat pulang, tetapi langsung tidak berpantun semasa memulakan majlis - tidak kiralah majlis peminangan, majlis pertunangan, mahupun majlis pernikahan - yang saya rasa lebih ‘abdal’ dan kena pada tempatnya.

Di saat dan tika ini, saya menyusun sepuluh jejari memohon ribuan maaf andainya terguris hati pembaca blog, kerana saya mengaku saya sendiri bukanlah ‘terror’ sangat dalam hal pantun-memantun. Saya langsung tidak berpantun secara spontan tatkala anak saya sendiri mendirikan masjid dua tahun lalu, apatah lagi berjual-beli pantun di khalayak ramai. Gamam betul dibuatnya.

Cuma saya ingin mengesyorkan agar pusaka tradisional kita ini terus dilestarikan kembali seperti dulunya. Sebagai anak Melayu sejati, kita haruslah bersyukur dan berasa amat beruntung sekali kerana dapat mewarisi khazanah-khazanah kesopanan yang begitu halus, indah, unik dan artistik sekali.

Mungkin ada di antara kita yang mengeluh betapa susahnya hendak menghafal ‘lirik’ pantun-pantun lama itu. Tetapi hakikatnya ialah kita boleh ‘berfikir di luar kotak’ dan tidak payah menggunakan pantun dari zaman nenek-moyang kita, sebaliknya kita boleh menggunakan daya kreatif sendiri untuk menciptanya, berlandaskan istilah dan situasi masa kini. Contohnya, kalau kita tinggal di kawasan Bedok, pantun empat kerat kita boleh begini :

“Dari Bedok ke Kompleks Joo Chiat
Mencari kabinet dapur idaman
Kami datang membawa hajat
Hendak menyunting melur di taman”

Dan siapa kata kita tidak boleh gunakan pantun dua kerat ? Lebih ringkas, lebih cepat, lebih mudah, apa ? Umpamanya :
“Kelapa muda gugur ke bumi
Terimalah tanda pertunangan kami”

Rumusannya, apa saja jenis pantun, atau syair, gurindam, puisi, dsbnya, yang ditukil semasa berinteraksi sesama kita, Insya-Allah, akan membantu usaha kita untuk memelihara serta mengapresiasi lagi warisan yang sedia ada. Biarlah hendaknya kita terus menghiasi adat resam kita dengan sebaik mungkin, dan tidak meremehkan atau menjahanamkannya langsung dengan perilaku yang anti-tradisi.

Janganlah satu hari nanti kita dijangkiti tabii-tabii bobrok, seperti yang tersirat dalam coretan dua kerat ini :

“Dulu, I LOVE YOU, DARLING, YES !
Nak jatuhkan talak, pakai SMS.”

Subhanallah ........

Monday, July 21, 2008

HAI, NASIB BADAN ANAK JANTAN


Alhamdulillah, dewasa in kita kerap mendengar tentang anak bayi lelaki yang baru lahir sudah pun dikhatankan. Amalan ini seolah-olah sudah menjadi satu trend di kalangan ibubapa generasi Melayu yang berhemah. Mereka menganggap upacara ini semakin cepat dilaksanakan semakin baiklah untuk semua pihak, terlebih lagi bagi si anak kecil itu sendiri.

Pada umumnya, masyarakat kita yakin bahwa menyempurnakan khatan anak seawal mungkin adalah satu tanggungjawab keibubapaan yang selari atau kongruen dengan lunas akidah. Dari sudut ‘medical’ atau kesihatan pula, agak payah untuk diperdebatkan lagi faedahnya, kerana pakar perubatan sememangnya sebulat suara merumuskan berkhatan awal berupaya mengelakkan kita daripada diserang beberapa jenis penyakit yang bobrok, terutamanya yang berkaitan dengan isu kelamin.

Hairan bin ajaib, semasa saya kecil dulu, langsung tidak ada pula saya mendengar perihal wujudnya amalan menyunatkan bayi. Mungkin di kampung-kampung lain adalah, tetapi di seluruh kampung saya sendiri tidak sekali pun terjadi. Wallahu-alam.

Yang paling muda anak lelaki kecil disunatkan adalah kanak-kanak di ‘sekolah makan’ (digelar tadika zaman ini). Itu pun saya dan rakan-rakan pasti terasa kagum dengan ‘keberanian’ budak itu. Maklumlah, dulu mana ada bius atau peralatan canggih seperti yang terdapat di poliklinik atau klinik privet sekarang. Nampak pisau kilat yang dikeluarkan oleh tok mudin saja dah macam nak pengsan dibuatnya ! Apatah lagi, setiap kali budak di dalam bilik sunat memekik saja, kita yang tunggu di luar menggeletar kalahkan gelek gerudi Inul !

Biasanya di kampung dulu, kaum tua selalu sepakat menyunatkan anak-anak lelaki mereka serentak, maksud saya, kalau ada dua orang anak yang layak dikhatankan, maka majlis akan diselenggerakan untuk kedua-duanya pada hari yang sama. Ini dapat menjimatkan masa dan ongkos, maklum saja orang dulu-dulu manalah dapat bonus bulan ke-13. ‘Baby Bonus’ jauh sekali.

Namun, kerap juga terjadi kanak-kanak kampung menjalani proses khatan secara beramai-ramai, terutamanya pada musim cuti sekolah penggal yang panjang. Kekadang kelihatan di anjung rumah tok mudin ‘queue’ yang agak berjela juga. Walaupun senarionya ibarat satu pesta, tidak hairan jika di kalangan ‘hero’ kita ada yang akan tiba-tiba saja mendapat demam, pitam atau kaki menjadi lemah-lesu, sehingga terpaksa ditunda gilirannya. Hai, kalaulah dulu ada anugerah ‘pelakun terbaik’, gerenti ada yang menang !

Anak saya sendiri telah berkhatan semasa berusia lingkungan 10 tahun, di sebuah klinik privet, lebih kurang sama usia saya sendiri mengharungi ‘rukun wajib’ itu dulu. Namun, cucu pertama saya telah dihantar ke klinik untuk dikhatankan sebaik saja ‘lepas hari’.

Walaupun saya langsung tidak sangsi akan kelicinan prosedur oleh kakitangan klinik, hati kecil saya tetap berdegap-degup mendoakan agar bayi kecil ini tidak merasakan kepedihan yang terlalu sangat. Hati atuk mana yang tidak simpati atas apa saja kesakitan yang dialami cucu ! Maklumlah, tidak seorang ahli keluarga pun dibenarkan masuk untuk menyaksikan sesi ‘pembedahan’.

Alhamdulillah, pelik tetapi benar, bukan saja si genit kami keluar dari bilik dengan senyap dalam dakapan jururawat, malahan tersenyum lebar pula ! Mungkin sanubarinya berbisik, “SELAMAT, DAH BERES, SEH ! ”

YOK, CUBA NASI DURIAN


Apakah nasi tradisional Melayu kegemaran anda ? Nasi lemak ? Nasi rawon ? Nasi jenganan ? Nasi ambeng ?

Saya memang gemar kesemuanya, tetapi dalam usia dah maghrib ini, saya kurangkan makan nasi lemak, mentelah lagi selepas membaca kajian terkini mengenai kesan negatif santan yang berlebihan.

Nasi rawon, yang ‘eksklusif’ dengan buah keluaknya, memang menggiurkan, tetapi hanya sekali-sekala saja saya makan, biasanya di majlis-majlis tertentu seperti kenduri doa selamat, berkhatan, cukur rambut, dan tahlil, maklumlah lemak daging kambing amat tinggi kolesterolnya. Hai, baik-baik berniat nak menjamu nasi rawon yang mengancam, silap haribulan penyakit darah tinggi pula yang mencengkam !

Saya jarang sekali makan nasi jenganan. Pada saya, ianya agak ‘kering’. Saya ni orangnya jenis yang suka sajian yang berkuah. Kalau nasi terlalu kering, saya rasa bagaikan nak ‘tercekik’, dan asyik terpaksa menelan cecair untuk menurunkan ketulan yang tersendat pada kerongkong. Nah, kalau dah banyak sangat minum, nanti ‘kenyang air’ pula.

‘Nasi ambeng’ adalah istilah Jawa yang bermaksud ‘nasi dulang’, yang biasanya dihidang penuh sarat dengan nasi, lauk-pauk dan sayur-mayur khas, seperti bergedil, rendang, tempeh, sambal goreng, serunding, dan tak lupa juga, urap-urap. Untuk menambahkan kelazatannya, kesemua bahan-bahan ini dialas dengan daun pisang.

Yang membuat nasi ambeng lain daripada yang lain adalah dulangnya yang sengaja diisi begitu padat sekali. Ini kerana, mengikut adat resam, kesemua empat orang yang berkongsi hidangan itu tidak harus menghabiskannya sehingga kering-kontang. Mereka sebaiknya tinggalkan sebahagian daripada sajian itu untuk keluarga ‘yang menunggu di rumah’. Justru, apa saja ‘belen’ atau lebihan makanan akan dibahagi empat lagi lalu dibungkus untuk tetamu-tetamu itu membawa pulang sebagai berkat.

Dalam analisa terakhir saya, ada satu lagi makanan nasi tradisional yang amat saya nanti-nantikan musimnya, tak lain tak bukan - musim durian ! Ya, pernahkah anda makan nasi dengan ‘lauk’ utamanya buah durian ? Dalam keluarga saya yang terdiri daripada 12 orang adik-beradik, tidak seorang pun yang akan tolak makan nasi warisan kami ini !

Sebenarnya, resepi untuk menyiapkan nasi durian hanyalah nasi putih (makin panas, makin sedaaaap !), beberapa ulas durian (makin tebal, makin ‘power’ !), sedikit gula (secukup rasa saja !), dan santan (jangan sampai banjir !)

Waduh, waduh ! Pendek kata, nasi durian kalau nak diberi markah, saya beri gred sepuluh O ! Hingga menjilat jari ! Dan seperti kata orang-orang lama - ‘sampai tak perasan mertua lalu’ !

Walau bagaimanapun, sayugia diingatkan, janganlah kita bedal nasi campur durian ini keterlaluan atau selalu sangat. Maklumlah, kolesterol durian boleh tahan juga. Ada gula dan santan pula tu !

Lereng bukit penuh manggis

Elak sakit kencing manis ….

Wednesday, July 16, 2008

TATA-TERTIB DI DEPAN ORANG TUA


Antara peradaban orang Melayu yang paling dikagumi oleh bangsa-bangsa lain ialah tingkah laku kita semasa bersama kaum yang lebih tua daripada kita. Cara kita berinteraksi jauh lebih berdisiplin dan bersopan. Generasi muda dididik sejak dari zaman ‘sekolah makan’ (istilah lapuk bagi tadika) supaya selalu mempamerkan tahap kehormatan yang tinggi terhadap ayah, ibu, datuk, nenek, pakcik, makcik, atau sesiapa saja yang lebih tua daripada mereka.

Misalnya, janganlah sekali-kali kita meninggikan suara tatkala berbual dengan mereka, walau apa pun isi hati atau emosi kita. Ini bukan saja adat, malah pasti berdosa jika melakukannya.

Malangnya, dewasa ini kita kerap mendengar bukan hanya suara anak-anak lebih nyaring daripada suara ibubapa mereka, malah ada yang sanggup mengecil-ngecilkan martabat mereka. Saya sendiri sudah banyak kali mendengar anak-anak mengherdik orang tua mereka di khalayak ramai dengan kekata kasar seperti “Alah, mak apa tau ? Duduk diam-diam sudahlah ! Ape je !”

Warisan kita juga memesan agar kita wajib menegur anak-anak yang asyik duduk di tempat yang lebih tinggi daripada kaum tua. Semasa saya kecil dulu, saya dan adik-beradik akan duduk secara ‘automatic’ di lantai di depan ibubapa, dan tidak membelakangkan mereka. Jangan kata punggung, tapak kaki juga ‘haram’ di halakan ke arah mereka. Menyampuk perbualan orang tua pun jauh sekali kerana ianya disifatkan sebagai biadab.

Dan apabila kita hendak berjalan lalu melintasi ayah atau ibu, kita mesti berjalan sambil menunduk sedikit, dengan tangan kanan tegak ke bawah atau ke depan sedikit. Mengingkari susila ini bererti satu ‘jotos’ atau ketukan di kepala !

Hai, hari ini, dah banyak kali saya terlihat anak-anak dan cucu-cicit relaks di kerusi atau sofa seraya berbual dengan orang tua mereka yang duduk di bawah. Telapak kaki pula bagaikan cermin buat ayah dan ibu ! Dan apabila anak-anak muda berjalan melintasi orang tua, bukan hanya mereka tidak tunduk, malah ada yang berlari atau melangkah saja kaki mereka. Nama nak mengucap, “Tumpang lalu, ya ibu”, jangan haraplah.

Adakah ini semua kes terlalu memanjakan anak, atau kes ‘tak kisah’ untuk mendisiplin anak ? Atau adakah ini gara-gara kurang bertanggungjawab atau acuh tak acuh tentang peri-pentingnya menjaga adat resam kita yang paling menitik-beratkan darjat tinggi setiap insan yang lebih tua daripada kita, terlebih lagi warga emas ?

Tepuklah dada, tanyalah selera ......

Tuesday, July 15, 2008

ERP UNTUK PENGANTIN LELAKI


Memang tidak dapat disangkal lagi, antara topik yang paling hangat diperbualkan di negara kita sekarang ini ialah tentang penguat-kuasaan gantri ERP atau ‘Electronic Road Pricing’ yang semakin banyak dibina di merata jalanraya utama yang sarat dengan kenderaan.

Namun, bagi saya, konsep ‘ERP’ ini lantas mengingatkan saya kembali akan satu ciri majlis persandingan orang Melayu yang nampaknya semakin lama semakin jarang kelihatan. Acara yang saya maksudkan tak lain tak bukan ialah acara seloroh ‘cukai pengantin’, iaitu semasa raja sehari dihalang daripada diarak menuju terus ke arah pelamin untuk duduk di sebelah permaisurinya.

Biasanya, ini dilakukan oleh ‘segerombolan’ saudara-mara daripada pihak pengantin perempuan yang sengaja tidak membenarkan rombongan mempelai lelaki melepasi ‘checkpoint’ mereka sehinggalah dihadiahkan dengan duit cukai atau ‘toll’ berupa sampul surat berisi beberapa keping wang kertas 5 atau 10 dolar. Benteng ‘impromptu’ mereka ini biasanya berbentuk kerusi-kerusi atau peralatan memasak yang dipinjam daripada tukang masak.

Adakalanya ‘pegawai-pegawai kastam’ ini memang mendapat ‘easy money’, untuk dibeli rokok atau minyak petrol motosikal. Tetapi kekadang pula, ada yang diperdayakan oleh pengapit pengantin atau ‘best man’ yang sengaja mengisikan sampul dengan 2 atau 3 dolar saja. Si penghalang yang tak tau hal terus tersengeh dan tersenyum lebar dari telinga ke telinga berkat mendapat bonus kecil, tanpa disedari jika dia mendesak lagi mungkin akan mendapat jumlah yang lebih lumayan.

Ada pula yang ‘kena main bulat-bulat’ dek tidak memeriksa sampul di depan pengantin kerana mengandaikan sampul mereka agak tebal, pasti 5 keping wang 10 dolar. Malangnya, bila sempadan dibuka luas dan pengantin pun lega berlalu, barulah dia berasa kesal tak sudah, lantaran wang kertas itu rupa-rupanya matawang rupiah !

Tetapi, sebenarnya senario ERP pengantin beginilah yang pasti menambahkan keriangan, keseronokan, keceriaan dan kemesraan di antara kerabat kedua mempelai. Mereka akan tertawa mengilai-ngilai sesama sendiri, mengusik-usik dan bersenda-gurauan, sehingga para jemputan yang lain pun akan turut tidak kering gusi.

Alangkah eloknya jika budaya seloroh ini sepatutnya dilestarikan semula dalam setiap majlis persandingan kita. Keunikan warisan kita ini harus menjadi suatu tradisi turun-temurun yang digalakkan, tidak kira betapa gah atau ‘glamour’ perhiasan pelamin mahupun dekorasi dewan makan.

Sayang seribu kali sayang, hari ini ‘ERP pengantin’ boleh dikira dengan jejari saja. Yang amat susah dihitung adalah jumlah ERP lebuhraya.

BERSALAMAN CARA GENERASI MELAYU BARU ?


Tradisi kita sejak zaman purba lagi menganjurkan bahawa cara yang paling sopan untuk bersalaman sesama orang Melayu adalah dengan masing-masing ‘menggenggam’ kedua belah tapak tangan, kemudian mengarahkan tangan ke dada sendiri, tanda perilaku salaman itu ikhlas dari hati ke hati. Yang paling penting, yang muda wajib tunduk dan mengucup tangan yang tua, kecuali jika kedua mereka bukan mahram.

Malangnya, pada era teknologi ini, kita dapat melihat pelbagai versi bersalaman, dan yang paling ketara di antaranya adalah berjabat hanya dengan tangan kanan saja, serupa dengan cara ‘handshake’ yang biasa dipraktikkan oleh orang-orang barat atau ‘mat saleh’.

Tetapi yang paling menggeletekkan hati saya ialah apabila saya disalam oleh beberapa orang kanak-kanak belasan tahun kebelakangan ini. Cara mereka bersalaman ? Mereka mengucup tangan saya seperti lumrahnya, tetapi kemudian mereka meletakkan tangan kanan saya ke dahi, ke ubun-ubun atau ke pipi mereka, bukan ke bibir ! Ada seorang budak pula meletakkan tangan saya ke dagunya !

Kadangkala saya bertanya pada diri sendiri : adakah mereka takut untuk meletakkan tangan orang tua ke mulut ? Adakah kerana keadaan tangan yang berkedut dan lesu ini boleh menjejaskan kesihatan mulut atau gigi mereka ?

Kaum remaja pula lain halnya. Beberapa kali saya terlihat mereka langsung tidak ‘menggenggam’ tangan rakan, malah mereka menggesel-gesel dan menggentel-gentelkan jejari berbelit-berbelit. ‘Adat resam’ mereka ini disudahi dengan menemukan ibu jari. Kalau yang bersalaman dengan cara ‘hi 5’ tu jangan cakaplah.

Kemungkinan besar kaedah bersalaman sedemikian merupakan identiti remaja dalam zaman komputer ini, atau dipanggil juga dengan gelaran canggih ‘zaman MP3’, ‘zaman hip-hop’, ‘zaman power’, ‘zaman Mcdonald’s kids’, dan sebagainya.

Dalam analisa terakhir, saya berpegangan bahwa walau cara apa pun kita atau anak muda kita menyampaikan ucap salam dan selamat sesama kita, janganlah hendaknya kita merosakkan susu sebelanga dek nila setitik. Biarlah masyarakat lain tetap berasa ghairah dengan tahap kesopanan yang kita warisi daripada nenek moyang kita. Kan lebih elok jika kita lakukan peradaban yang sebaik mungkin, dan tidak praktikkan gejala yang dianggap tidak bernorma ; misalnya, dengan menggantikan ungkapan ‘Assalamu’alaikum wr wb’ kepada budaya mencium bibir atau pipi di kalangan lelaki dan wanita yang langsung bukan mahram.

Wallahu alam bissawaab ……